Wednesday 8 June 2016

WAKTU OPERASI RAMADHAN 1437H : 10 PAGI - 6.30 PETANG

Assalamualaikum semua, Ramadhan Kareem.

Alhamdulillah kita dipertemukan dengan Ramadhan yang mulia, bulan penuh seribu keajaiban dan keindahan. Tetamu yang ditunggu hampir setahun lamanya, sudah bertandang di rumah kita selama sebulan, bahagia rasanya. Jika kita ada tetamu datang, masuk hari yang ketiga, dalam fikiran, eh tak ingat balik ke orang ni, duduk lama-lama. Tetapi, Ramadhan bukan orang, ianya bulan ciptaan Allah yang sangat diingini bertandang di hati orang-orang beriman. Lihatlah, kedatangannya menyebabkan kita berhati-hati memilih siaran televisyen untuk dilihat, bimbang jika melihat maksiat di kaca televisyen, rasa macam puasa itu rugi sahaja siang tadi. Kita juga menjaga pendengaran supaya bunyi yang masuk ke dalam telinga betul-betul bunyi yang Allah redha, bimbang jika terdengar sesuatu yang berbunyi fitnah, cerca, bualan kosong akan mengakibatkan pahala berkurangan sehingga 0. Sungguh Ramadhan membuatkan hati-hati terasa ingin berubah dan sayu dengan kealpaan selama ini, rasa seperti mahu 24 jam duduk di tikar sejadah dan tidak mahu bercakap dengan orang.

Pasti hati orang-orang beriman sangat merindui detik bersama Ramadhan kerana setiap kali bersamanya, usia kita berbeza dan setiap kali itu amalan kita juga berbeza. Adakah lebih baik dari tahun sebelumnya? Masih ada waktu untuk kita bersama-sama beramal memperbaiki amalan Ramadhan tahun 1437 Hijrah ini. Kami doakan anda semua tabah dan kuat menjalani ibadah puasa dengan sempurna, puasa itu sendiri, puasa mata, puasa mulut, puasa telinga dan puasa anggota badan yang lain. 

Sepanjang bulan Ramadhan ini, pusat rawatan Homeopathy kami meneruskan waktu operasi seperti biasa dari jam 10 pagi sehingga 6.30 petang, sebenarnya waktu sehingga 7 petang. Demi memberi ruang para petugas pusat rawatan kami membuat persiapan berbuka, kami tutup 30 minit lebih awal. Walaubagaimanapun, jika anda mahu mengambil rawatan atau ubat sekitar 6.30 petang sehingga 7 petang, tidak menjadi halangan kepada kami, cuma anda perlu maklumkan awal kepada petugas yang berkhidmat di bahagian khidmat pelanggan. Anda, sangat kami hargai, kami mahu anda sihat sepanjang bulan Ramadhan ini, oleh yang demikian, patuhi jadual makan ubat dan jadual rawatan susulan. 
Untuk cawangan-cawangan lain Klinikal Perunding (HOM) Sg, Rengit Sdn Bhd di Johor, waktu operasi mereka adalah dari jam 10 pagi sehingga 6 petang. Untuk lanjutan masa, anda perlu mendapatkan persetujuan pihak cawangan tersebut. Kami akan maklumkan tarikh pusat rawatan ini bercuti Hari Raya insyaAllah dalam masa 2 minggu sebelum bercuti, maka mudahlah anda untuk menyusun jadual rawatan susulan.
Untuk makluman pesakit-pesakit, jadual makan ubat semasa Ramadhan ini,  ada sedikit perubahan. Jika sebelum ini, jadual makan pesakit setiap 6 jam , 4 kali sehari, ianya akan dijadualkan kepada 3 kali sehari sahaja, iaitu makan ubat selepas berbuka, tengah malam dan waktu sahur. Anda tidak perlu makan ubat pada waktu siang, tetapi jika anda pesakit yang  di dalam keadaan kritikal, maka anda boleh untuk tidak berpuasa kerana jika anda puasa ia akan memudaratkan kesihatan. Kami harap anda faham dengan penjadualan makan ubat.


Tip khatam Al Quran di bulan Ramadhan ini, 
*UNTUK SATU KALI KHATAM* :

1. Shalat Subuh 4 halaman
2. Shalat Zhuhur 4 halaman
3. Shalat 'Ashar 4 halaman
4. Shalat Maghrib 4 halaman
5. Shalat 'Isya 4 halaman

*UNTUK DUA KALI KHATAM* :

1. Shalat Subuh 8 halaman
2. Shalat Zhuhur 8 halaman
3. Shalat 'Ashar 8 halaman
4. Shalat Maghrib 8 halaman
5. Shalat 'Isya 8 halaman

*UNTUK TIGA KALI KHATAM* :

1. Shalat Subuh 12 halaman
2. Shalat Zhuhur 12 halaman
3. Shalat 'Ashar 12 halaman
4. Shalat Maghrib 12 halaman
5. Shalat 'Isya 12 halaman